Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

22-Mar-2020 : Siaran Akhbar: Kementerian Tenaga

http://www.me.gov.bn/Imageshttp://www.memi.gov.bn/Images1/PRESS%20RELEASE%20(1).png1/news/2020/3.jpg

1.      Kementerian Tenaga sukacita memaklumkan bahawa langkah-langkah bersesuaian telah diambil bagi menjamin pembekalan tenaga elektrik, minyak sektor pengangkutan, dan tong gas LPG, adalah sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan awam untuk keperluan harian.

 

2.      Pihak Kementerian sukacita memaklumkan bahawa stok penyimpanan Negara (Country-wide stock) bagi minyak pengangkutan seperti RON 97, RON 92, RON 85, V-Power dan Diesel, dan tong gas LPG adalah mencukupi. Kementerian Tenaga akan secara berterusan bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan seperti Syarikat Brunei Shell Petroleum Company Sdn Bhd, Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Brunei Shell Marketing Sdn Bhd dan Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd dalam perkara ini.

 

 

 

 

 

 

3.      Dalam kesempatan ini, Kementerian Tenaga ingin menasihatkan orang ramai untuk membuat pembelian komoditi-komoditi tersebut secara rasional dan berhemah.

 

4.      Mengenai dengan bekalan elektrik yang disediakan melalui Jabatan Perkhidmatan Elektrik, ianya adalah mencukupi dan berterusan bagi keperluan orang ramai terutama sekali bagi pusat-pusat pengasingan Wabak COVID-19 dan pusat-pusat kesihatan utama. Kementerian Tenaga akan juga secara berterusan bekerjasama dengan Syarikat Berakas Power Company Sdn. Bhd. dalam perkara ini.  Dalam pada itu, pihak Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Elektrik sentiasa bersedia untuk menyalurkan bekalan alternatif melalui pembekalan jentera statik atau bergerak, jika ianya diperlukan. 

 

5.       Kementerian Tenaga ingin mengambil kesempatan ini juga untuk menyeru orang ramai agar berjimat cermat dan bijak dalam penggunaan tenaga elektrik. Turut diingatkan supaya penggunaan adalah sentiasa mengambilkira aspek keselamatan, misalnya untuk tidak membuat penggunaan lebih bebanan atau membuat lencongan pendawaian.

 

6.      Untuk makluman, kaunter-kaunter Jabatan Perkhidmatan Elektrik dikunjungi oleh kira-kira 400-700 orang dalam sehari untuk membuat pelbagai urusan perkhidmatan elektrik, seperti pembelian token pra-bayar dan pembayaran bil. Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga untuk mendukung usaha-usaha untuk mengawal penularan wabak COVID-19, pihak Kementerian memohon kerjasama dan menggalakkan orang ramai untuk melaksanakannya melalui kaedah alternatif seperti berikut:

  1. Pembelian melalui mesin deposit wang atau yang lebih dikenali sebagai [Cash Deposit Machine (CDM)] yang beroperasi 24 jam, dan terletak di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Elektrik Berakas, Cawangan Seria, DST cawangan Tanjung Bunut dan DST cawangan Central Mall Tutong;
  2. Pembelian secara Online Banking melalui bank BIBD, Baiduri dan Standard Chartered;
  3. PowerKad yang boleh didapati di kebanyakan kedai-kedai runcit, stesen minyak, pasar raya dan lain-lain; dan
  4. Pembelian melalui DST EasiKad.

 

7.      Untuk sebarang pertanyaan lanjut atau aduan mengenai perkhidmatan elektrik, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau emel kepada des.info@des.gov.bn pada bila-bila masa.

 

 

KEMENTERIAN TENAGA

27 REJAB 1441

22 MAC 2020


Attachments